News


Lahirkan ramai usahawan muda

GEORGETOWN - Kerajaan akan terus berusaha dalam melahirkan lebih ramai usahawan muda serta memperkasakan golongan itu di negara ini khususnya usahawan bumiputera.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, pihaknya akan turun padang mendekati golongan itu bagi membantu mereka selain menyalurkan maklumat berhubung peluang yang ada.

“Negara ini memerlukan lebih ramai usahawan yang mempunyai pemikiran strategik dan berilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan bagi menghadapi persaingan global.

“Untuk melahirkan golongan usahawan yang berilmu, mereka harus berani menghadapi risiko menceburkan diri dalam bidang dan pasaran baru. Peluang terbuka luas, cuma mereka perlu diberitahu bagaimana untuk merebut peluang berkenaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Urban Grocery Store SAM'S Groceria, semalam.

Menurutnya, untuk lebih berdaya maju, usahawan Bumiputera perlu ada kesungguhan dan bertanggungjawab mengusahakan perniagaan.

Dalam perkembangan lain, Hasan menyarankan supaya pasar raya yang ada di negara ini mencontohi teknologi ‘personal self scanner’ (PSS) yang diguna pakai di SAM'S Groceria di Gurney Paragon, di sini.

"Sekiranya ia memberi keselesaan dan kemudahan kepada pembeli, ia disarankan agar turut dipraktikkan di pasar raya lain.

"Penubuhan pasar raya ini membuka mata rakyat Malaysia bahawa kita juga mampu bersaing dengan negara maju lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SAM'S Groceria, Datuk Ameer Mydin berkata, pasar raya berkenaan melaksanakan sistem beli belah peribadi (Sam’s Self Scan) yang mengandungi komputer mudah alih yang memudahkan pembeli membeli-belah.

“Ia adalah yang pertama digunakan di Asia Pasifik dan dilengkapi dengan peranti komputer mudah alih serta pengimbas kod bar. Pelanggan boleh melakukan imbasan diri dengan cara mengimbas kod barangan yang mereka hendak beli dan meletakkan barang terus ke dalam beg.

“Ia juga membolehkan pelanggan terus bergerak ke kaunter daftar keluar diri khas yang disediakan. Setelah semua maklumat siap diimbas ke dalam peranti, pembeli boleh terus membayar tanpa beratur panjang dan ia sangat menjimatkan masa,” katanya.

Ameer berkata, selain kemudahan itu, SAM'S Groceria juga bakal memperkenalkan khidmat beli belah dalam talian untuk lebih memudahkan pelanggannya.

SAM'S Groceria adalah pasar raya berorientasikan keluarga yang mempunyai keluasan 30,000 kaki persegi.

Ia menyediakan lebih 19,000 jenis produk bebas khinzir dan alkohol serta 60 peratus daripada jenama barangan dijual diimport dari negara lain antaranya Amerika Syarikat, Jepun, India dan Australia.